Obsessi Keturunan

Mataku terpaku pada judul hantaran di sebuah aplikasi media sosial. Ia berkenaan Ulama Hadis terkenal berketurunan Rasulullah SAW datang ke Malaysia dan bertemu Dr. Zulkifli Al Bakri. Aku pun “okey”, reaksi aku biasa saja. Normal bagi orang-orang sesama bidang bertemu dan berdiskusi mengenai kepakaran mereka.

Keadaan menjadi menarik apabila aku terbaca komen-komen warga net mengenai hantaran tersebut. Majoriti daripada mereka membahaskan tentang “keturunan” ulama itu. Ada antara mereka sangsi samada dia benar-benar dari susur jalur keturunan Rasulullah SAW. Maka keluarlah pendapat masing-masing sehingga ada yang mengaitkan dengan Nabi Ismail A.S. dan ahlul bait lalu ruangan komen tersebut menjadi medan perbahasan yang bagi aku tiada manfaat.

Sejenak aku terfikir kenapa ada orang terlalu obses dengan keturunan? Ada di kalangan orang yang aku kenal dengan bangga, mendabik dada mengaku yang keluarga dia berasal dari keturunan raja dari India. Malang sekali taraf ekonomi keluarga mereka sangat menyedihkan. Bukan aku nak menghina tapi aku cuba nak faham motif kau menceritakan salasilah keturunan kepada aku. Adakah dengan mengaku kau keturunan raja India atau timur tengah membuatkan kau lebih superior dari orang lain atau untuk menampakkan kau mulia dari aku? Adakah dengan mengakui keturunan kau tu segala hutang keliling pinggang kau tu akan terlunas? Who cares about your ancestry, man?

Benar, kajian mengenai keturunan dan genetik dalam disiplin sains adalah penting. Ia sangat membantu ahli sains dan sejarah merungkai sejarah peradaban manusia serta mengenalpasti risiko-risiko penyakit keturunan. Besar sumbangannya. Tapi sibuk-sibuk untuk mengkaji keturunan sendiri untuk merasakan diri lebih mulia dan wajar mendapat kelas yang lebih tinggi di dalam masyarakat adalah sesuatu yang memualkan.

Setakat untuk rekod keluarga sendiri masih boleh diterima lagi. Kerana ada manusia yang menjadikan kebanggaan terhadap keturunan sendiri sebagai motivasi untuk kejayaan diri sendiri. Sebagai contoh seorang itu mendapat tahu bahawa dia berasal dari keturunan doktor yang banyak berbakti pada masyarakat dan ia memberi semangat kepada dirinya untuk bersungguh menjadi seorang yang berguna seperti keturunannya. Itu boleh diterima.

Tak perlulah nak agung-agungkan keturunan sendiri atau orang lain sangat. Sedangkan hidup ini secara realiti adalah meaningless apatah lagi dengan darjat dan keturunan. Sepatutnya kita berusaha untuk kesamarataan dan kesaksamaan. Apa guna kalam kita menyatakan agama kita memperjuangkan kesamarataan namun hakikat sebenar tindakan kita merelakan pembahagian kelas sesama manusia? Fikir-fikirkan. So the next time kau ceritakan dengan bangga yang kau keturunan Nabi ka, ulama ka, raja ka, penghulu ka, jangan sentap bila orang cakap nobody’s care.

Leave a Comment