Aku Nihilist?

Jujur aku cakap aku sebenarnya tidak tahu sangat pasal nihilism walaupun aku gemar mengungkapkan mengenainya. Dan aku langsung tidak mendalami falsafah Nietzsche. Buku beliau yang aku miliki pun hanyalah Thus Spoke Zarathustra yang aku sekadar browsing saja. Namun, dari istilah, sekurang-kurangnya dari kefahaman aku, nihilism bermaksud pandangan atau pemikiran di mana kehidupan kita dan segala nilai termasuk moral di dalam hidup ini adalah tidak masuk akal atau tiada makna langsung.

Nietzsche

Samada kita semua setuju atau tidak bukan masalah aku. Semestinya ramai yang susah menerima terutamanya kita yang dilahirkan di dalam masyarakat beragama Islam dan agama samawi lain. Tapi aku suka meletakkan point of view agama ke tepi sementara dan melihat dunia secara kritikal. Apa sebenarnya tujuan kita hidup? Apa beza kita dengan binatang sedangkan menurut biologi, kita dikategori di dalam kingdom animalia. Jadi apa maksud hidup seekor kucing?

Adakah aku seorang nihilist? Adakah aku berpegang yang hidup dan kewujudan aku ini meaningless atau tiada suatu motif kukuh kenapa aku bernafas? Dalam beberapa ketika, benar, aku ada beranggapan sebegitu terutama sewaktu sedang melalui splitting episode. Splitting episode bagi aku adalah waktu yang sangat menyakitkan, tapi kadang ia membuka jalan untuk aku berfikir secara berbeza. Ia membuka ruang untuk aku mempersoalkan segala pemikiran tradisional dan konservatif dan membantu aku mengenalpasti mana satu dogma dan mana satu pembebasan.

Bila bercakap mengenai moral, kadangkala aku merasakan banyak nilai moral yang sangat tidak masuk akal di dalam masyarakat. Kadang aku lihat ia dicipta untuk mengawal dan untuk memerintah. Seperti mana, menutup aurat dan tetap di rumah bagi wanita, jelas ia adalah hukum patriaki yang mengawal wanita. Mana-mana wanita yang melanggarnya akan dilihat sebagai tidak bermoral, sundal dan tidak bermaruah. Apa yang membuatkan tidak memakai tudung dan keluar dari rumah menyebabkan wanita itu tidak bermoral?

Apa tujuan kod etika berpakaian? Kenapa berambut panjang bagi lelaki tidak dibenarkan di sekolah? Apa kaitan belajar dengan rambut panjang? Kenapa perlu dipaksa orang memelihara janggut? Kenapa aku tidak dibenarkan menindik subang? Semua itu sebenarnya meaningless.

Kerana ia meaningless atau tidak bermakna sebab itu manusia, makhluk yang sendiri mencipta moral itu, melanggarnya. Maka ada kala kita akan menghukum sesuatu kesalahan mencuri dan adakala kita merelakan. Moral itu rosak kerana kita bias. Oleh yang demikian, moral itu asalnya tidak bermakna dan akan kekal tidak bermakna.

Tapi kenapa nihilist masih mengamalkan nilai-nilai moral? Salah satunya adalah kerana concern atau kecenderungan kita untuk bertindak secara kolektif. Manusia adalah makhluk yang bersosial. Walaupun kehidupan ini sebenarnya tiada makna namun secara kimia semula jadi kita diprogram untuk survive. Ia dipanggil herd mentality. Maka moral dicipta untuk mengelakkan konflik sesama kita, agar kemandirian kita terjamin.

Apa beza manusia dan biri-biri?

Kita boleh langgar apa saja moral yang dicipta, sedihnya akan ada akibatnya kerana penciptanya telah menetapkan sebegitu dan masyarakat mengikutnya. Aku boleh tindik septum tapi akibatnya orang akan memandang aku secara negatif. Sedangkan tiada sebarang kebinasaan pada orang lain jika aku bertindik sekali pun.

Apa-apa pun aku berpegang bahawa moral ini abstrak, tidak finalized dan boleh diubah. Begitu juga dengan hidup aku, tidak ada makna yang konkrit, tapi aku kena hidup sebab aku ada isteri dan anak-anak aku. Aku ada perjuangan aku sendiri, iaitu sosialima di satu dunia. Tapi itu matlamat aku tetapkan pada diri aku sendiri, bukan asal kejadian aku wujud itu untuk sosialisma. Aku tahu benda ni susah nak faham, tapi itu lah pemikiran aku.

Adakah aku seorang nihilist? Mungkin, tapi yang pasti aku seorang marxist.

Leave a Comment